Ahad, 28 Jun 2026 – Sebagai kesinambungan daripada penganjuran program sempena Projek Borneo Pulau Bersejarah Kali Ke-2 Tahun 2026, program diteruskan dengan penganjuran Riadah Sejarah bersama Pengakap Tunas Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam yang disertai oleh seramai 40 orang peserta Pengakap Tunas berumur antara 7 hingga 11 tahun.
Program dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei Darussalam, “Allah Peliharakan Sultan”, bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, sebelum disusuli dengan sesi senamrobik. Acara seterusnya dimeriahkan dengan Peraduan Mewarna Peta Borneo.
Program ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti yang menekankan kepentingan pemeliharaan sejarah dan warisan Borneo, antaranya Kuiz Sejarah Borneo, Taklimat Sejarah dan Budaya, Permainan Cari Harta Karun Sejarah serta Mari Bercerita Sejarah Borneo. Taklimat Sejarah dan Budaya disampaikan oleh pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Penyampaian hadiah dan sijil penyertaan kepada para peserta Pengakap Tunas disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh, Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei (PSB). Selain menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan, para peserta Pengakap Tunas turut berpeluang menyaksikan Galeri Citra Borneo, Galeri Pameran penBORNEO dan Pameran PetaPeta Borneo.
