

Isnin, 28 September 2026 – Pameran Seni Uciran: Kenangan Dalam Warna (Memories in Colour) anjuran Creative Space dengan sokongan Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah dilancarkan di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya menyempurnakan pelancaran ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh wakil Pelukis Uciran Calak Brunei, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Haini bin Haji Hashim, diikuti persembahan deklamasi sajak, demonstrasi melukis dan lawatan ke pameran.
Sebanyak 35 buah lukisan hasil karya 10 orang pelukis tempatan dipamerkan kepada orang ramai mulai 28 September hingga 11 Oktober 2026 di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei, Bandar Seri Begawan. Pameran dibuka pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu, pukul 8.30 pagi hingga 4.15 petang, serta Ahad, pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
