Sabtu, 27 Jun 2026 – Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO) menganjurkan Projek Borneo Pulau Bersejarah Kali Ke-2 bertemakan “Selami Sejarah Borneo” dari 27 hingga 28 Jun 2026.
Majlis perasmian Galeri Pameran penBORNEO dan Pameran Peta-Peta Borneo telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Encik Abdul Munir Lutfi bin Said, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Mr. Agus Buana, Head of Chancery, Pengarah Hal Ehwal Sosial dan Budaya, wakil daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan daripada sektor kerajaan dan swasta, para ahli akademik dan mahasiswa/i institusi-institusi pengajian tinggi.
Projek diserikan dengan Program Ceramah Sejarah Borneo bagi Siri Ke-14 yang menampilkan dua orang ahli panel berpengalaman, iaitu Dr. Awang Haji Abdul Karim bin Haji Abdul Rahman, mantan Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, dan Dr. Chun Sheng Goh, Penolong Profesor di Institute of Asian Studies, Universiti Brunei Darussalam.
