Isnin, 5 Mei 2025 - Persatuan Perpustakaan Negara Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Library Association atau BLA) yang diwakili oleh 14 ahli FOCAL dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menganjurkan Majlis Pelancaran Projek Kolaboratif FOCAL (Forum of Chief Librarians). Majlis berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei.
Hadir selaku Tetamu Khas bagi menyempurnakan pelancaran ialah Yang Mulia Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei.
Objektif utama projek adalah untuk menyediakan “tools” bagi memudahkan kerja-kerja para pustakawan seperti indeks, abstrak, bibliografi, daftar nama pengarang, menerbitkan buku Key Reference Sources on Brunei Darussalam, garis pandu digital libraries, piawaian dan latihan dengan BLA sebagai pembimbing dan penasihat bagi menjayakan projek berkenaan.
Majlis turut diselajurkan dengan forum bertajuk “Apa yang Difahamkan sebagai Koleksi Bruneiana” yang dijayakan oleh tiga (3) ahli FOCAL iaitu daripada Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam, Perpustakaan Pusat Sejarah Brunei dan Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata penghargaan kepada Tetamu Khas; dan sijil serta cenderamata kepada ahli panel forum.