 |
 |
|
|
| |
| |
|
Monumen-Monumen dan Tempat-Tempat Bersejarah di
Negara Brunei Darussalam |
| |
| Jambatan Edinburgh |
Jambatan
Edinburgh adalah mengambil nama sempena lawatan pertama
kali Yang Teramat Mulia Duke of Edinburgh ke Brunei
dalam tahun 1959. Jambatan ini menyeberangi Sungai
Kedayan yang menghubungkan dari Bandar Brunei ke Tutong
dan Kuala Belait. Pembukaan rasminya telah disempurnakan
oleh Yang Teramat Mulia Duke of Edinburgh selaku Tetamu
Diraja itu sendiri pada 28 Februari 1959 jam 3.26
petang. Ia merupakan salah sebuah daripada empat buah
jambatan yang dibina oleh Kerajaan yang menelan belanja
sebanyak $2,219,000.00 di bawah peringkat pertama
rancangan jalan dan jambatan yang menelan belanja
kira-kira $70,000,000.00. |
|
Ianya adalah antara usaha baginda
Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien dalam membaiki dan
mempertingkatkan lagi perkhidmatan sosial di Negeri
Brunei pada tahun 1950-an. |
 |
| Pintu Gerbang Sempena Peruspaan |
|
Pintu
Gerbang sempena Istiadat Perpuspaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam yang ke-29 pada 1 Ogos 1968
telah disembahkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang
Kaya Di-Gadong Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusuf.
Pada asalnya Pintu Gerbang ini didirikan di kawasan
Kampong Sultan Lama tapi telah dipindahkan ke sebelah
dalam sedikit setelah Bangunan Yayasan Sultan Haji
Hassanal Bolkiah dibina pada bulan Oktober 1993.
|
 |
| Jam Peringatan |
Jam
Peringatan adalah merupakan sebuah tugu yang diperbuat
daripada simen. Di bahagian keempat penjuru sebelah
atasnya diletakkan sebuah jam Seiko. Ianya terletak
di Simpang Jalan Sultan dengan Jalan Elizabeth Kedua
iaitu di antara bangunan Setiausaha Kerajaan dengan
Pejabat Pos Besar, Bandar Seri Begawan.
Istiadat perletakkan batu asas bagi Jam Peringatan
ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Yang Dipertuan Agong Malaysia yang pertama,
Persekutuan Tanah Melayu, Tuanku Abdul Rahman pada
11 Julai 1959 bersempena dengan lawatan keberangkatan
baginda ke Negeri Brunei bermula dari 6 hingga 12
Julai 1959. Dengan terbinanya Jam Peringatan ini ianya
melambangkan keteguhan dan keeratan perhubungan antara
Negeri Brunei dan Persekutuan Tanah Melayu.
|
 |
| Bubungan Dua Belas |
|
Bubungan
Dua Belas merupakan antara bangunan dianggap bersejarah
di negara ini. Bangunannya terletak di lereng Bukit
Subok, Jalan Residency dan jaraknya dari pusat bandar
ialah kurang lebih 1½ kilometer. Bangunan ini
dinamakan Bubungan Dua Belas kerana ia mempunyai dua
belas bumbung yang bertingkat-tingkat. Ia didirikan
setelah bermulanya sistem pentadbiran Residen British
di Brunei sejak tahun 1906. Pada mulanya bangunan
ini merupakan tempat kediaman rasmi bagi Mr. MacArthur,
Residen British yang pertama di Brunei. Di sekitar
kawasan bangunan ini sebelumnya juga menempatkan antaranya
Pusat Pentadbiran, Balai Polis, Head Quarters
Kakitangan Kerajaan dan lain-lain lagi. Pembinaan
bangunan ini mula dilaksanakan dalam bulan Julai 1907
dan kontraktornya pula telah didatangkan dari luar
negeri. Manakala para pekerja buruh adalah terdiri
daripada anak-anak tempatan. Peralatan bagi pembinaan
bangunan didatangkan dari Sandakan, Sabah. Bangunan
Bubungan Dua Belas ini masih kekal hingga kini dengan
tidak banyak mengalami perubahan dan sekarang ianya
di bawah Pemuliharaan Kementerian Kebudayaan, Belia
dan Sukan. |
 |
| MASJID OMAR 'ALI SAIFUDDIEN |
Masjid
Omar 'Ali Saifuddien telah mula dibina pada 4 Februari
1954 atas hasrat dan cita-cita Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Maulana Al-Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien. Baginda telah mengangkat mertabat
ugama Islam ke tempat yang tinggi dan menjadikan ugama
Islam sebagai ugama rasmi Negeri Brunei Darussalam.
Ianya dibina di atas sebidang tanah seluas lima ekar
berdekatan dengan pinggir Sungai Brunei, Bandar Brunei
(Bandar Seri Begawan) dan merupakan salah sebuah masjid
terindah di Asia Tenggara. Bangunan masjid ini mempunyai
bentuk senibina Islam klasik, dihias dengan mozek
emas, marmar dan kaca berwarna-warni. Menaranya mempunyai
lif dan kubahnya diperbuat daripada emas setiap satunya
berukuran 53 dan 54 meter tinggi. Di kawasan lagun
pula dibina sebuah kapal konkrit yang berbentuk Kenaikan
Diraja kurun ke-16. |
|
Masjid ini telah dibuka rasmi oleh
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maulana Al-Sultan Haji
Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan
Brunei ke-28 pada hari Jumaat, 26 September 1958.
Masjid ini boleh menampung jemaah seramai 3,000 orang. |
 |
| Lumut Lunting Dan Pulau Pilong-Pilongan |
Lumut
Lunting terletak di antara Pulau Sibungur dengan Pulau
Berambang di kawasan Sungai Brunei. Lumut Lunting
adalah merupakan legenda yang dikaitkan mengenai dengan
kisah persabungan ayam di antara Brunei dengan Majapahit
seperti yang terdapat dalam Syair Awang Semaun.
Cerita persabungan ayam ini telah menjadi cerita lisan
yang terkenal di kalangan masyarakat Brunei dan dipertuturkan
daripada satu generasi ke satu generasi. |
|
Menurut Syair Awang Semaun,
ketika Brunei diperintah oleh Awang Alak Betatar,
Batara Majapahit yang bernama Raden Angsuka Dewa telah
datang ke Brunei untuk mengadakan perlawanan bersabung
ayam. Raden Angsuka Dewa mempunyai seekor ayam sabung
yang perkasa diberi nama Asmara dan telah banyak mengalahkan
ayam sabung dari negeri-negeri yang lain. Mamandangkan
di Brunei juga terdapat ayam sabung yang perkasa,
dipunyai oleh Awang Senuai iaitu anak saudara Awang
Alak Betatar. Ayam tersebut diberi nama Mutiara, maka
Ratu Majapahit telah menyatakan kepada Raja Brunei
untuk mengadakan perlawanan bersabung ayam. |
|
Dalam perlawanan itu Betara Majapahit
telah membuat pertaruhan iaitu jika ayamnya kalah,
baginda akan menyerahkan 40 buah kapal serta isi harta
di dalamnya kepada Raja Brunei dan sebaliknya jika
ayam Raja Brunei kalah, Raja Brunei hendaklah menyerahkan
sebahagian daripada wilayah kekuasaan baginda kepada
Majapahit. |
|
Dalam persabungan itu ayam Ratu
Majapahit telah kalah dan terbang melarikan diri,
lalu jatuh ke laut berdekatan dengan Pantai Muara
dan seterusnya menjadi batu, dikenali dengan nama
Pilong-Pilongan. Kekalahan ini menyebabkan Ratu Majahapit
merasa malu dan murka lalu menyumpah Mutiara menjadi
batu. Akibat sumpahan itu, Mutiara yang sedang terbang
telah jatuh ke Sungai Brunei dan menjadi batu yang
seakan-akan menjadi sebuah pulau kecil dan dikenali
dengan nama Lumut Lunting. Kedua-dua tempat ini, Pulau
Pilong-Pilongan dan Lumut Lunting masih kekal dan
dapat dilihat sehingga sekarang. |
Menurut cerita orang tua-tua, Lumut
Lunting ini dipercayai boleh menjadi satu tanda alamat
kepada Negeri Brunei, iaitu sekiranya akan berlaku
sesuatu peristiwa yang mendukacitakan menimpa Negeri
Brunei, menurut kepercayaan, pulau ini tiba-tiba akan
ghaib atau hilang. Menurut cerita lain pula jika Lumut
Lunting dilanda banjir, adalah juga dipercayai sebagai
petunjuk bahawa sesuatu peristiwa yang mendukacitakan
akan berlaku ke atas Negeri Brunei.
Bagaimanapun itu adalah sebagai kepercayaan sahaja
semata-mata. Sesungguhnya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui. |
 |
|
Cendera Lambang Kenangan |
Cendera
Lambang Kenangan adalah sebuah gerbang yang dibina
khas dengan ketinggian 10 meter, yang telah direka
khas bagi Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Penukaran
Bandar Brunei Menjadi Bandar Seri Begawan. Ianya terletak
di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien. Pembinan
Cendera Lambang Kenangan menelan belanja lebih $60,000.00
dan ianya telah disumbangkan oleh Syarikat Brunei
Shell. Sementara itu rekabentuknya pula adalah ihsan
daripada Arkitek Idris dan jurutera tempatan. Cendera
Lambang Kenangan yang tersergam indah ini terukir
dengan perkataan Bandar Seri Begawan 1970 - 1995.
Pembinaannya dihasratkan untuk membangun dan mengindahkan
serta mencantikkan lagi Bandar Seri Begawan. Struktur
lambang ini memperkenalkan satu elemen struktur taman
tiga demensi. |
 |
|
Istana Darusalam |
Istana
Darussalam yang terletak dengan megahnya di tepi tebing
Sungai Kedayan merupakan contoh sebuah bentuk bangunan
Melayu asli yang terbaik di zamannya. Ianya telah
dibina daripada kayu dalam tahun 1947 dan kemudian
beberapa bahagian seperti tiang dan pak-pak telah
diganti dengan konkrit. Bangunan Istana Darussalam
ini berwarna hijau dan coklat dengan bentuk sebuah
rumah Melayu yang unik. Hingga ke hari ini bangunan
istana tersebut dapat dilihat tersegam indah berbeza
dengan kelompok rumah-rumah kampung yang terdapat
di sekitarnya. |
Pelbagai upacara negara telah disempurnakan
di istana ini, antaranya Duli Yang Teramat Mulia Paduka
Seri Begawan Sultan telah diarak menjadi Bendahara
pada 15 Julai 1947 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzddien
Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam telah diputerakan pada 15 Julai 1946.
Istana Darussalam tidak lagi digunakan oleh keluarga
Diraja pada ketika ini tetapi pada tiap-tiap hari
Jumaat majlis tahlil diadakan di ruang utama oleh
pegawai-pegawai dari Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
|
|
Dalam tahun 1951 keluarga Diraja
telah berpindah dari Istana Darussalam ke Istana Darul
Hana dan untuk seketika Istana Darussalam telah sempat
digunakan untuk menempatkan tetamu-tetamu terdiri
daripada rakan-rakan sedarjah Duli Yang Teramat Mulia
Seri Begawan Sultan ketika menuntut di Malay College,
Malaysia. |
 |
|
Taman Haji Sir Muda Omar' Ali Saifuddien,
Bandar Seri Begawan. |
Taman
Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien terletak di pusat
Bandar Seri Begawan ialah sebuah taman tempat berlangsungnya
upacara-upacara negara seperti Hari Keputeraan Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Hari Kebangsaan,
Musbaqah Membaca Al-Quran, Sambutan Maulud Nabi Muhammad
Sallallahu 'Alaihi wa Sallam dan sebagainya. Sesuai
dengan kegunaannya bagi upacara-upacara yang besar,
taman ini juga terdapat dua buah pentas yang dibuat
daripada konkrit di samping taman bunga sebagai usaha
untuk menyerikan dan mencantikan lagi kawasan berkenaan
dan juga ibu negara. |
|
Sebelumnya taman ini dikenali dengan
nama Padang Besar, setelah ianya siap diubah suai
dan diperindahkan dalam tahun 1983 maka ianya telah
ditukar nama menjadi Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali
Saifuddien sempena men0gambil nama AlMarhum Duli Yang
Teramat Mulia Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar
'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien. Taman ini
juga merupakan tempat yang bersejarah kerana di sinilah
juga berlangsungnya Pemasyhuran Kemerdekaan Negara
Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984. |
 |
|
Universiti Brunei Darussalam |
Usaha-usaha
Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan hasrat negara
bagi mencapai taraf pendidikan tertinggi di negara
ini terbukti dengan terbinanya kampus kekal, Universiti
Brunei Darussalam, Kampong Tungku, Gadong yang mana
pembukaan rasminya telah disempurnakan oleh Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 September
1995. |
 |
|
Makam Sultan Sharif Ali |
Makam
Sultan Sharif Ali bertarikh TH 836 bersamaan TM 1432
terletak di Perkuburan Islam Kota Batu, Bandar Seri
Begawan. Sultan Brunei ke-III memerintah dari TM 1425
- TM 1432.
Menurut Salasilah Raja-Raja Brunei, Sultan
Sharif Ali yang menjadi menantu kepada Sultan Ahmad
dan termasyhur dengan nama Sultan Berkat adalah berasal
dari Taif, keturunan daripada Nabi Muhammad Sallallahu
'Alaihi wa Sallam menerusi Sayidina Hasan. Baginda
datang ke Brunei sebagai mubaligh Islam yang bersungguh-sungguh
menjalankan dakwah Islamiah. Perkahwinan baginda dengan
puteri Sultan Ahmad, Puteri Ratna Kesuma adalah menjadi
suatu ikatan yang mengukuhkan kedudukan baginda sebagai
mubaligh Islam di Brunei.
Tatkala Sultan Ahmad (Sultan Brunei II) lindung, berkebetulan
baginda tidak mempunyai putera, maka dengan permintaan
orang Brunei baginda telah dijunjung untuk menjadi
Sultan Brunei Ke-III yang memerintah dalam TM 1425
- TM 1432. |
 |
|
Makam Sultan Bolkiah |
Makam
Sultan Bolkiah terletak di Kota Batu, Bandar Seri
Begawan. Dalam Salasilah Raja-Raja Brunei,
Sultan Bolkiah adalah Sultan Brunei yang ke-V. Baginda
mula memerintah dianggarkan dalam TM 1485 iaitu setelah
ayahanda baginda, Sultan Sulaiman (lindung TM 1511)
menurunkan diri dari Takhta Kerajaan.
Sultan Bolkiah adalah Sultan yang gah namanya, dihormati
dan dikasihi oleh sekalian rakyat dan pembesar baginda.
Baginda suka belayar ke luar negeri dan kemudian membawa
oleh-oleh untuk dijadikan bahan kemajuan negara dan
rakyat Brunei. Setiap kali apabila baginda berangkat,
baginda gemar membawa nobat (gendang) kebesaran Diraja,
kerana itu baginda terkenal dengan nama 'Anakkuda
Ragam' atau 'Nakhoda Ragam'. |
|
Dalam Brunei in the Boxer Codex,
baginda disebut Sultan Salan iaitu sebutan bagi Sultan
Abdul Salam Bolkiah, manakala dalam Hikayat Hang
Tuah, baginda terkenal dengan gelaran Adipati
Sulok. |
|
Dalam zaman pemerintahan baginda,
kekuasaan Brunei bukan sahaja meliputi keseluruhan
Pulau Borneo bahkan Pulau-Pulau Suluk, Palawan, Balayan,
Mindoro, Bonbon hingga Saludang. Sultan Bolkiah yang
banyak berjasa kepada negara dan rakyat Brunei lindung
pada TM 1524 ketika dalam pelayaran membawa permaisuri
baginda Puteri Laila Menchanai ke Brunei. |
 |
|
Makam Sultan Muhammad Kanzul Alam
|
Makam
Sultan Muhammad Kanzul Alam terletak di atas sebuah
bukit arah timur laut, kira-kira 200 meter dari letak
kereta VIP Kubah Makam Diraja. Baginda yang terkenal
dengan mana 'Pengiran Di-Gadong Ayah' merupakan Sultan
Brunei ke-21 yang memerintah Brunei. Baginda dimasyhurkan
menjadi Sultan dalam TM 1807 dan turun dari takhta
dalam TM 1826 atas sebab kesihatan baginda yang tidak
mengizinkan untuk terus memerintah Brunei dan digantikan
oleh putera baginda Sultan Muhamad Alam. |
 |
| |
| |
| |