PULAU
CHERMIN terletak di Kuala Sungai Brunei yang
bertentangan dengan Pulau Keingaran. Sebelah barat
Pulau Cermin terletaknya Tanjong Kindana yang
dipisahkan oleh satu kawasan perairan dinamakan Pasir
Si Bubu. Pada 29 Ogos 2003 serombongan penyelidik dari
Pusat Sejarah Brunei yang terdiri daripada Awang Haji
Su’ut bin Haji Ahmad dan Awang Haji Mohd. Noor Irwan
bin Haji Osmar serta Awang Mohd.Zefri Ariff bin Zain
Ariff dan Awang Shahdi bin Metussin dari Universiti
Brunei Darussalam telah mengadakan penyelidikan dan
penggambaran di Pulau Chermin. Ketika berada di sana
rombongan membuat rakaman gambar video dan pegun
terhadap lokasi-lokasi tertentu di darat dan laut
pulau berkenaan.
Walaupun tidak banyak ditemui kesan-kesan sejarah di
pulau berkenaan tetapi peristiwa perang saudara yang
berlaku di pulau itu pada abad yang ke-17 tetap
terpahat dalam sejarah Brunei. Pulau Chermin pernah
didiami oleh Sultan Abdul Hakkul Mubin (Sultan Brunei
yang ke-13) iaitu atas cadangan Pengiran Bendahara
Muhyiddin dengan alasan Bandar Brunei pada ketika itu
tidak aman disebabkan kekacauan oleh orang-orang darat.
Apabila Sultan Abdul Hakkul Mubin bersemayam di pulau
itu, maka Pengiran Bendahara Muhyiddin pun
mengisytiharkan dirinya menjadi Sultan Brunei dengan
gelaran Sultan Muhyiddin. Oleh yang demikian pada
ketika itu Brunei mempunyai dua orang Sultan. Sultan
Muhyiddin yang mengisytiharkan diri menjadi Sultan itu
semata-mata bertujuan menuntut bela di atas kematian
ayahnda mertua baginda, Sultan Muhammad Ali yang
dibunuh oleh Sultan Abdul Hakkul Mubin ketika menjadi
Pengiran Bendahara dan seterusnya mengambil alih
pemerintahan dengan menggelarkan diri baginda Sultan
Abdul Hakkul Mubin. Kekacauan yang dilakukan oleh
orang-orang darat semasa Sultan Abdul Hakkul Mubin
memerintah di Bandar Brunei adalah sebenarnya atas
suruhan Pengiran Bendahara Muhyiddin yang bertujuan
untuk menghuru-harakan Bandar Brunei. Pada mulanya
mereka mengaruk lantai istana dan beberapa buah rumah
Pembesar Negara, kemudian dilaratkan kepada
rumah-rumah orang ramai yang menyebabkan kekacauan
berlaku berleluasa.
Pengisytiharan Pengiran Bendahara Muhyiddin menjadi
Sultan di Bandar Brunei itu telah menyebabkan
berlakunya perang saudara yang berlanjutan dari tahun
1662 hingga 1673 dengan kekalahan di pihak Sultan
Abdul Hakkul Mubin di Pulau Chermin. Sultan Muhyiddin
membuat kubu di Tanjong Kindana semasa memerangi
Sultan Abdul Hakkul Mubin di Pulau Chermin. Baginda
juga mendapat bantuan dari tentera Betara Suluk yang
membuat kubu pertahanan di Pulau Keingaran. Sebelum
kalah, Sultan Abdul Hakkul Mubin telah membinasakan
segala harta benda, membakar istana dan merosakkan
Mahkota serta cop mohor. Baginda juga memerintahkan
supaya Mahkota itu dilemparkan ke laut Pulau Chermin.
Akibat daripada peperangan itu semua peninggalan
pemerintahan Sultan Abdul Hakkul Mubin di Pulau
Chermin musnah sama sekali dan sukar dikesan hingga
sekarang -
Dipetik daripada AKTIF, Bil. 57, Pusat Sejarah Brunei, Februari 2004
|