The Government of Brunei Darussalam

 

Balik ke Fail Penyelidikan
 
 
 
SULTAN-SULTAN BRUNEI DALAM SUMBER INGGERIS
 

Buku bertajuk 'Oriental Repertory, Vol. I, oleh Dalrymple yang diterbitkan pada TM 1783 (London) banyak melaporkan mengenai Brunei pada zaman pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin I (TM 1740-1795) khususnya perkara yang berkaitan dengan hubungan perdagangannya dengan Syarikat Inggeris Hindia Timur yang berpengkalan di Pulau Belambangan yang terletak diutara Borneo. Salah satu perkara menarik yang terdapat di dalam laporan tersebut ialah tentang senarai Sultan-Sultan yang dilampirkan dalam buku berkenaan dengan tajuk kecil List of the Sovereigns of Borneo(halaman 577) dengan menyenaraikan gelaran Sultan-Sultan Brunei yang bermula dari Sultan Muhammad Ali, Sultan Brunei yang ke-12 hingga ke Sultan Omar Ali Saifuddin I. Maklumat tersebut begitu menarik kerana ianya hanya menggunakan gelaran atau panggilan khas Sultan-Sultan berkenaan tanpa menyebutkan nama mereka yang sebenarnya. Dalam senarai itu Sultan Muhammad Ali disebut sebagai Marhom Toombang Deroompoot, dan ditambah dengan perkataan The First in their History about Caramat's Reign. Selepas itu diikuti oleh De Poolow iaitu merujuk kepada Sultan Hakkul Mubin. Sultan yang berikutnya ialah Bongso, iaitu Sultan Muhyiddin. Ini diikuti oleh Sultan-Sultan Abdool gelaran bagi Sultan Nasrudin; Ussen, or De Looba gelaran bagi Sultan Husin Kamaluddin; Di Bornai, or Appoong gelaran bagi Sultan Muhammad Alauddin dan De Patooan, or Saiph Odin, the present Sultan iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin I. Senarai tersebut walaupun tidak melengkapi ke semua Sultan yang pernah memerintah Brunei tetapi maklumat yang diberikan itu sebenarnya amat penting untuk mengimbangi sumber tempatan seperti salasilah dan tradisi lisan yang menjadi rujukan kita selama ini. Malah sumber Inggeris itu telah menjadi sumber sokongan kepada sumber tempatan khususnya Salasilah Raja-Raja Brunei yang mempunyai beberapa kekeliruan, terutamanya mengenai dengan kedudukan Sultan Hakkul Mubin yang tidak disebut dalam beberapa buah Salasilah Raja-Raja Brunei. Misalnya salasilah versi Haji Abdul Ghaffar bin Abdul Mumin, Sarawak (1936) telah meninggalkan nama Sultan Hakkul Mubin dalam senarai Sultan-Sultan Brunei. (lihat Amin Sweeney, Silsilah Raja-Raja Berunai, JMBRAS., Vol. 41,pt2, 1968, hal.12). Keadaan ini mempunyai hubungan dengan Perang Saudara yang berlaku di Brunei pada masa itu di antara Sultan Hakkul Mubin dan Sultan Muhyiddin. Disebabkan salasilah tersebut ditulis pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Alauddin atas wasiat dari Sultan Muhyiddin sudah tentu penulis salasilah pada ketika itu Datu Imam Yaakub merasa keberatan untuk memasukkan nama Sultan Hakkul Mubin di dalam salasilah tersebut. Oleh itu dengan adanya sumber Inggeris ini yang dicatatkan nama Sultan Hakkul Mubin sebagai salah seorang Sultan yang pernah memerintah Brunei telah menjelaskan bagi kedudukan sebenara senarai Sultan-Sultan Brunei seperti yang kita akui sekarang.

          Selain daripada itu perkara yang juga penting dalam sumber Inggeris itu ialah tentang gelaran Husin (Usseen) ke atas Sultan Husin Kamaluddin yang sebelum ini hanya disebut dalam Salasilah Raja-Raja Brunei sebagai Sultan Kamaluddin. Sumber ini sebenarnya menguatkan lagi bukti bahawa pemakaian nama Husin Kamaluddin yang digunakan sekaran ternyata mempunyai asas sejarah yang kukuh. Oleh itu sumber tersebut sebenarnya menyokong segala hasil penyelidikan Pusat Sejarah selama ini mengenai Kesultanan Brunei - Dipetik daripada AKTIF, Bil. 50, Pusat Sejarah Brunei, Januari 2003       

Balik ke Fail Penyelidikan