Kesengsaraan
semasa pendudukan Jepun di Brunei pada tahun 1941-1945
juga pernah dirasakan oleh beberapa orang penduduk
kampung di Mukim Labi, Daerah Belait. Di antara mereka
ialah Awang Haji Ali bin Othman yang telah
menceritakan bahawa pada masa pendudukan Jepun di
Brunei beliau diambil bekerja sebagai Polis Jepun dan
ditugaskan menjaga kapal terbang dan sebagainya. Pada
masa itu permasalahan yang mereka hadapi ialah
mengenai hal pakaian dan sedikit mengenai bahan import
seperti gula. Pada waktu itu mereka cuma melakukan
kerja berkebun seperti menanam tebu dan padi. Beliau
pernah tinggal di Balai Polis bersama-sama tentera
Jepun dan dimestikan menggunakan bahasa Jepun ketika
bertutur. Salah seorang nama tentera Jepun yang beliau
ingat ialah Nagasaki. Beliau juga pernah diarahkan
menangkap orang Melayu yang menyembunyikan keperluan
makanan di rumah yang dianggap suatu yang menjadi
kesalahan bagi pihak Jepun. Ketika serang belas oleh
Tentera Besekutu di akhiri pendudukan Jepun beliau
berjaya melepaskan diri tanpa cedera.
Menurut Awang Munap bin Saman pada dasarnya sikap
tentera Jepun terhadap penduduk kampung tidaklah
terlalu ganas, kecuali jika permintaan mereka tidak
dilayan lebih-lebih lagi didapati ada barang yang
disembunyikan. Kedatangan tentera Jepun di Labi hanya
sementara iaitu pada peringkat kekalahan mereka. Pada
masa pemerintahan Jepun itu penduduk kampung
menghadapi kekurangan pakaian, mereka terpaksa
menggunakan kain kelambu dan guni beras sebagai
pakaian. Ini membuatkan mereka terpaksa membeli beras
yang banyak. Semasa kekalahan Jepun penduduk-penduduk
kampung melarikan diri ke dalam hutan selama dua
minggu bagi mengelak dari terkena bom dari pihak
Tentera Bersekutu. Mereka hanya balik mengambil barang
makan di rumah masing- masing pada waktu malam. Di
dalam hutan mereka terpaksa tinggal berpecah bagi
mengelak dari ancamam bom, mereka hanya berkumpul pada
waktu malam.
Sebelum kedatangan tentera Jepun ke negara ini sudah
ada dua orang Jepun menetap di Labi dan bekerja
sebagai tauke. Kedatangan mereka pada tahun 1941
diketahui dari khabar-khabar penduduk setempat.
Menurut Ubi bin Lee Chin pula semasa tentera Jepun
berada di Brunei mereka memaksa petani untuk
menyerahkan hasil tani mereka seperti padi kepada
tentera Jepun. Adakalanya tentera Jepun itu menukar
beras dengan sira atau minyak tanah. Kadangkala dibeli
dengan mata wang Jepun, tapi pada masa itu tidak ada
barang-barang yang boleh dibeli. Ada beras berbau tahi
kerana beras tersebut dicampur dengan bahan pengawet
yang menyebakan beras tersebut berbau tahi. Pengkisah
pernah bekerja dengan tentera Jepun di Seria. Semasa
di kampung pengkisah lari ke hutan untuk berlindung
dari gangguan tentera Jepun. Setelah Tentera Bersekutu
datang tentera Jepun lari ke Baram dan kebanyakan dari
mereka dibunuh oleh orang Iban.
Sementara itu Awang Haji Ladi bin Jais menyatakan
bahawa semasa pemerintahan Jepun selama lebih kurang 4
tahun, pakaian susah didapati, pakaian hanya sehelai
baju sahaja yang diberi oleh tentera Jepun. Kulit
timbaran dipupuh kemudian diratakan dengan mesin getah
dan seterusnya direndam dalam air selama 2 hingga 3
hari supaya boleh dijadikan selimut. Di samping itu
tentera Jepun datang ke rumah penduduk kampung meminta
padi, kalau tidak diberi mereka akan dipukul. Biasanya
tentera Jepun mengambil separuh daripada hasil padi
yang diperolehi penduduk kampung. Pada ketika itu
ramai tentera Jepun mati dibunuh oleh orang-orang Iban.
Manakala Dayang Hajah Aisah binti Saman menceritakan
bahawa tentera Jepun datang ke Mukim Labi melalui
jalan sungai dengan menggunakan perahu. Mereka membawa
tawanan bangsa Jawa yang dijadikan sebagai buruh paksa.
Keadaan mereka amat menyedihkan di mana mereka hanya
memakai pakaian yang dibuat daripada guni. Penduduk
kampung bersimpati dengan keadaan mereka itu dengan
memberi perlindungan dan pakaian kepada mereka. Dua
orang bangsa Jawa yang sempat diselamatkan oleh
penduduk kampung dari seksaan tentera Jepun ialah
bernama Kiran dan Karman. Tentera Jepun pada awalnya
tidak bersifat ganas hanya setelah kekalahan mereka di
tangan Tentera Bersekutu. Bekalan makanan seperti
tanam-tanaman dirampas oleh tentera Jepun
secara paksa
khususnya padi. Anak-anak gadis juga disembunyikan
oleh penduduk kampung kerana dikhuatiri menjadi mangsa
tentera Jepun. Kehidupan penduduk tempatan pada masa
itu amat menyedihkan apabila hendak mengapankan mayat
pun terpaksa menggunakan kain kelambu kerana kain
putih sukar diperolehi -
Dipetik daripada AKTIF, Bil. 57, Pusat
Sejarah Brunei, Februari 2004
|