Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Bicara Sejarah: Evolusi Pentadbiran Negara Brunei Darussalam Dari Perspektif Sejarah



Lebih banyak gambar di sini

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Seramai 58 orang pegawai pendidikan dan guru subjek sejarah dari seluruh negara mengikuti ‘Bicara Sejarah: Evolusi Pentadbiran Negara Brunei Darussalam dari Perspektif Sejarah’ yang dihasratkan untuk meningkatkan keyakinan mereka dalam menyampaikan fakta kepada pelajar.

Ia dianjurkan oleh Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Perkhidmatan dan Pameran dan Bahagian Perpustakaan dan Pembelajaran dengan kerjasama daripada HISTORY SBC.BN yang terdiri daripada guru-guru Sejarah di negara ini.

Hadir selaku tetamu khas ada acara yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, PSB, di ibu negara itu ialah Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau antara lain menjelaskan bahawa majlis tersebut merupakan salah satu usaha yang penuh berkebajikan dan bermanfaat serta amat digalakkan dalam mendukung matlamat dan tujuan-tujuan penubuhan PSB.

Dengan kehadiran pakar jemputan dalam bidang persejarahan Brunei yang memang tidak asing lagi di negara ini, beliau berharap acara itu dapat memberi input yang bermanfaat untuk memahami dan mempelajari persejarahan Brunei khususnya dalam aspek pentadbiran tradisional dan moden.

“Ini amat penting diketahui bukan sahaja oleh generasi muda khususnya bahkan masyarakat Brunei dan orang luar umumnya tentang sejarah pentadbiran Sistem Kesultanan Brunei bukan sahaja dalam era tradisi bahkan dalam era globalisasi selepas pemasyhuran Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dan seterusnya menempuh era globalisasi dari abad ke-21 selepas kemerdekaan tahun 1984,” jelasnya lagi.

Beliau juga berkata bahawa catatan sejarah mengenai keutuhan dan kemantapan sistem beraja di negara ini adalah satu pembuktian relevannya warisan tradisi bangsa Brunei untuk terus dikekalkan.

PSB telah menjemput dua orang pakar yang mempunyai banyak pengetahuan, ilmu dan pengalaman dalam membuat kajian tentang Sejarah Pentadbiran Tradisional Brunei iaitu Profesor Haji Asbol bin Haji Mail dan Profesor Adjung Haji Mohammad Rozan bin Dato Paduka Haji Muhammad Yunos.

Majlis antara lain juga berobjektif untuk menambahkan lagi kefahaman para guru mengenai tajuk yang dibicarakan serta menaik taraf kualiti guru-guru Sejarah dan kedudukan pengajaran mata pelajaran Sejarah di Negara Brunei Darussalam setaraf piawaian antarabangsa.

Sumber: Media Permata
Attachments
Created at 10/25/2022 9:35 AM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali
Last modified at 10/25/2022 9:35 AM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali